Pada
suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi
ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan
kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi
pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin,
manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman
terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti yang dikatakan oleh
Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai apa-apa. Kata salah
seorang daripada mereka “Mungkin salah tempat”. Tetapi baginda menjawab “Tidak,
di sinilah tempatnya”. Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke
dalam laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam
agak lama juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahwa
dia tidak menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman “Apakah kamu
menyelam sehingga dasar laut” Jawab Jin Ifrit “Tidak”. Nabi Sulaiman pun
mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut.
Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi
Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia
melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana
Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi
Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi
Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama
kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut
mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama
diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna
merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat
daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air
tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh
Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat dan diletakkan di
hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut dengan penuh takjub
di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat kubah tersebut,
setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada di dalamnya. Pemuda
tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat ke darat kerana
asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam kepada pemuda
tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan terkejutnya apabila
melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman memperkenalkan dirinya
kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya
“Dari manakan mereka ini dan bagaimana mereka datang?”. Pemuda itu merasa
hairan dan setelah menjenguk keluar dia mendapati bahawa kubahnya telah berada
di darat. Nabi Sulaiman memberitahu pemuda itu bahawa mereka datang karana
diperintahkan oleh Allah untuk melihat keajaiban yang dikurniakan Allah
kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda
itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat benda yang ajaib yang
dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam kubah itu sungguh
menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut bagaimana dia boleh
berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda tersebut
menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya selama 70
tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta.
Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan
memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang diberikan olehnya.
Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat
kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula
meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah
memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang
diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya
di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah
dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari ketika pemuda tersebut bersiar-siar di
tepi pantai ia terlihat sebuah kubah yang sedang terapung-apung di tepi pantai.
Ketika pemuda tadi menghampiri kubah tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu
masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia masuk kubah dan meninjau di
dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak
lama kemudian muncul satu lembaga seraya memperkenalkan bahawa dia adalah
malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu
adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh
tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala makan dan minum akan
dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan
bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke dasar laut.
Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah sehingga hari
ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda
itu “Berapa lamakah kamu berada di dalam kubah ini” Pemuda itu menjawab “Saya
tidak menghitungnya tetapi mulai memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah
Ibrahim a.s lagi”. Nabi Sulaiman menghitung “. Ini bermakna kamu telah berada
di dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun”. Nabi Sulaiman berkata
“Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus
tahun lamanya”. Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu apakah dia mahu pulang
bersamanya”. Jawab pemuda tadi “Nikmat apa lagi yang harus aku pinta selain
daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini”. Nabi Sulaiman
bertanya”Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu” Jawab pemuda itu “Ya,
silalah hantar aku ke tempat asalku”. Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana
Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke
tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya “Kamu semua telah melihat
keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah
berikan kepada orang yang taat kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang
yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya”. Nabi Sulaiman pun berangkat pulang
ke tempatnya dan bersyukur kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan
kepadanya untuk menyaksikan perkara yang ajaib.
(Sumber : mhmgatsu.wordpress)
#SPUBerbagi
0 comments:
Post a Comment